Friday 10 February 2012

adakah aku bersedia?


Adakah aku mampu menguruskan jenazah ibu bapaku nanti?.  Adakah aku mampu memandikan dan mengkafankan jenazah mereka?.  Adakah aku mampu menjadi imam untuk menyembahyangkan jenazah mereka?.

Entah kenapa persoalan itu timbul dalam benak fikiran aku. Mungkin sebab baru lepas tonton ceramah ustaz Don Daniyal (Anak Asset ke Syurga atau Neraka). Hati yang keras sahaja tidak tersentuh dengan kata-kata ustaz tersebut. Selama ini aku tak fikir pun semua tu. Memang aku ada belajar semua tu kat sekolah. Memang aku tahu semua tu. Tapi bersediakah aku untuk jalankan tanggungjawab tersebut?. Aku tidak pernah persoalankan semua tu sebelum ni. Terima kasih ustaz Don Daniyal.
Kadang-kadang kita rasa, kita dah cukup ciri-ciri anak yang soleh. Namun, sedarkah kita, masa solat, nak doakan untuk ibu bapa pun kita lupa. Semasa mereka meninggal dunia, kita serahkan tanggungjawab imam pada imam surau adalah paling kuman pun kita serah pada jiran sebelah. Siapa yang masih ada mak ayah tu (termasuk aku) sedarlah sebelum terlambat. Terlambat?. Tidak ada istilah terlambat sebenarnya dalam islam. Kalau pun kita dah tak ada ibu bapa, kita didiklah mujahid dan mujahidah kita dengan sebaiknya. Nabi muhammad pesan, walaupun kita tahu besok kiamat, kalau kat tangan tu ada benih, kita tanam dahulu. Macam tu sekali Nabi ajar supaya kita tidak pernah rasa terlambat.
Mari kita belajar sedikit pasal cara memandikan jenazah.
Hukum syarak mengenai mandi mayat diterangkan dalam hadith berikut, yang bermaksud :
Dari Umu 'Athiah al-Ansariah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. masuk ke tempat kami ketika anak perempuannya* wafat lalu bersabda: "Mandikanlah dia dengan tiga kali, atau lima kali atau lebih dari itu (jika kamu pandang elok tambahan yang demikian) iaitu dengan air, dan serbuk daun bidara, dan campurkan sedikit kapur barus pada kali yang akhir, setelah kamu selesai memandikannya beritahu kepadaku."
Setelah selesai, kami pun memberitahu kepada baginda, lalu baginda memberi kepada kami kain sarungnya sambil bersabda,"Balutlah badannya dengan kain ini."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

SYARAT MANDI
Mandi dengan merata air ke seluruh anggota badan jenazah.
Syarat mayat dimandikan.
A.      Hendaklah mayat orang Islam.
B.      Cukup anggota atau sebahagian badannya.
C.      Berumur enam bulan atau kurang, tetapi telah lengkap anggotanya.
D.      Mayat itu bukan mati syahid.

Persediaan dan keperluan untuk memandikan Jenazah  ~~~(Kandungan)

1.       Sediakan tempat mandi.
2.       Sabun mandi.
3.       Air daun bidara.
4.       Air bersih.
5.       Sugi - 7 batang.
6.       Sarung tangan - 3 atau 5.
7.       Sedikit kapas.
8.       Air kapur barus.
9.       Baldi serta gayong.

Sebelum memandikan mayat, pastikan dahulu kubur telah digali dan peralatan mengkafan mayat telah disediakan seperti :

1.       Kain putih (bidang 45")  - 20 meter bagi dewasa
2.       Gunting
3.       Kapas
4.       Cendana
5.       Kapur barus
6.       Air mawar
7.       Minyak wangi (Minyak Attar)
8.       Tikar jerami
9.       Bantal (dari daun pandan)
10.   Tempat mandi yang khas.

Cara memandikan Jenazah 
               

1.       Letakkan mayat di tempat mandi yang disediakan.
2.       Tutup seluruh anggota mayat kecuali muka.
3.       Semua Bilal hendaklah memakai sarong tangan sebelah kiri.
4.       Sediakan air sabun.
5.       Sediakan air kapur barus.
6.       Istinjakkan mayat terlebih dahulu.
7.       Angkat sedikit bahagian kepalanya sehingga paras dadanya.
8.       Mengeluarkan kotoran dalam perutnya dengan menekan atau mimicit-micit perutnya secara perlahan-lahan dan hati serta kotoran dalam mulutnya dengan menggunakan kain alas atar tidak tersentuh auratnya.
9.       Siram dan basuh dengan air sabun sahaja dahulu.
10.   Kemudian gosokkan giginya, lubang hidung, lubang telinga, celah ketiaknya, celah jari tangan dan kakinya dan rambutnya.
11.   Selepas itu siram atau basuh seluruh anggota mayat dengan air sabun juga.
12.   Kemudian bilas dengan air yang bersih seluruh anggota mayat sambil berniat :



    Lafaz niat memandikan jenazah lelaki :

"Sahaja aku memandikan jenazah (lelaki) kerana Allah Taala"

    Lafaz niat memandikan jenazah perempuan :

    "Sahaja aku memandikan jenazah (perempuan) kerana Allah Taala"

13.   Telentangkan mayat, siram atau basuh dari kepala hingga hujung kaki 3 kali dengan air bersih.

14.   Siram sebelah kanan 3 kali.

15.   Siram sebelah kiri 3 kali.

16.   Kemudian mengiringkan mayat ke kiri basuh bahagian lambung kanan sebelah belakang.

17.   Mengiringkan mayat ke kanan basuh bahagian lambung sebelah kirinya pula.

18.   Telentangkan semula mayat, ulangi menyiram seperti bil. 13 hingga 17.

19.   Lepas itu siram dengan air kapur barus.

20.   Lepas itu wudukkan mayat.


    Lafaz niat mewudukkan jenazah lelaki :

    "Sahaja aku berniat mewudukkan jenazah (lelaki) ini kerana Allah s.w.t"

     Lafaz niat mewudukkan jenazah perempuan:

    "Sahaja aku berniat mewudukkan jenazah (perempuan) ini kerana Allah s.w.t"

        Cara mewudukkan jenazah ini iaitu dengan mencucurkan air ke atas jenazah itu bermula dari muka dan akhir sekali pada kakinya, sebagaimana melaksanakan wuduk biasanya. Jenazah lelaki hendaklah dimandikan oleh lelaki dan mayat wanita hendaklah dimandikan oleh perempuan.

21.   Siram dengan air sembilan.

22.   Setelah selesai dimandikan dan diwudukkannya dengan baik dan sempurna hendaklah dilapkan menggunakan tuala pada seluruh badan mayat.

23.   Cawatkan bahagian kemaluan mayat dengan cawat yang disediakan dan usung dengan menutup seluruh anggotanya.

    Segala apa-apa yang tercabut dari anggota mayat, hendaklah dimasukkan ke dalam kapan berama (Contoh : rambut, kuku dan lain-lain).

  **  Dengan ini selesailah kerja memandikan mayat dengan sempurnanya.


NEXT.....

Dah selesaikan di mandikan, jenazah tersebut mestilah dikafankan . mari kita belajar, cara mengkafankan pula.

Cara-cara mengkafankan jenazah
               
1.       Hendaklah disediakan tiga lembar kain kafan dibentangkan dengan disusun, kain yang paling lebar diletakkan di bawah atau dengan cara kain tiga lembar dibentangkan dan letaknya agak serong yang atas melebar dan yang bawah mengecil, setiap lembar disapu dengan wangi-wangian atau minyak wangi yang tidak mengandungi alkohol.
               
2.       disediakan tali pengikat sebanyak tiga atau lima utas yang diletakkan di bawah kain kafan tersebut.

3.       disediakan kapas yang disapu dengan wangi-wangian dan kayu cendana yang digunakan untuk menutup antara lain :

                     i.            Kemaluan
                   ii.            Wajah (muka)
                  iii.            Kedua buah dada
                 iv.            Kedua Telinga
                   v.            Kedua siku tangannya
                 vi.            Kedua tumitnya

4.       Angkatlah mayat tersebut dengan berhati-hati kemudian baringkan di atas kain kafan yang sudah dibentangkan.     
5.       Tutupkan jenazah itu dengan kapas yang telah disediakan pada bahagian-bahagian yang telah disebutkan di atas.
6.       kafan tersebut diselimutkan atau ditutupkan dari lembar yang paling atas sampai lembar yang paling bawah, kemudian ikatlah dengan tali daripada kain yang telah disediakan sebanyak tiga atau lima ikatan. Semua tali pengikat mayat hendaklah disimpul hidup di sebelah kiri. Sebelum  diikat di bahagian kepala, benarkan warisnya melihat atau menciumnya. Tulislah kalimah "ALLAH dan MUHAMMAD" di dahi mayat dengan menggunakan minyak wangi. Setelah siap diikat renjislah dengan air mawar dan sapulah minyak wangi.



NEXT...

Dah wangi2, dah pakai cantik2, (yeke).. ingat, pereka fesyen terkenal pun, kalau mati pakai benda yang sama juga. Itu lah pakaian yang paling cantik masa tu. Selepas mandi dan di kafankan, tiba lah pula proses menyembahkan jenazah.

Cara-cara solat jenazah

Persediaan Solat Jenazah

  1. Mayat diletakkan didepan imam melintang ke qiblat.
  2. Mayat lelaki kepalanya sebelah kiri imam dan imam berdiri di sebelah kepada atau dada mayat.
  3.  Mayat perempuan kepalanya sebelah kanan imam dan imam berdiri di pinggangnya.
  4. Bagi solat ghaib, imam dan makmum mengadap qiblat tanda ada jenazah di depan.


Sebelum solat, sunat Bilal melafazkan :

الصَلاَةُ جَامِعَه الصَلاَةُ الْمَيِّت اَلْحَاضِرُ رَحِمَكُمُ الله

Jawab Makmum :

الصَلاَةُ لاَ اِلَهَ اِلاَّ الله

Saf solat jenazah seboleh-bolehnya dijadikan 3 saf dan makmum digalakkan melebihi 40 orang.

*Rukun Solat Jenazah

·         Niat pada takbiratul ihram.

·         Berdiri bagi yang berkuasa tanpa sebarang rukuk dan sujud.

·         Takbir 4 kali termasuk takbiratul ihram.

·         Membaca surah Al-Fatihah sesudah takbir pertama.

·         Selawat atas Nabi Muhammad saw (selawat Ibrahimiyyah) sesudah takbir kedua.

·         Doa khas bagi jenazah sesudah takbir ketiga.

·         Memberi salam sesudah takbir keempat.


Cara Mengerjakan Solat Jenazah

Berdiri betul dan lafaz niat solat jenazah

Lafaz niat solat jenazah mayat perempuan.

أُصَلِّي عَلَى هَذِهِ اْلمَيْتَةِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةِ للهِ تَعَالَى

“Sahaja aku solat keatas ini mayat perempuan empat takbir fardhu kifayah kerana Allah taala”.

Lafaz niat solat jenazah mayat lelaki.

أُصَلِّي عَلَى هَذَا اْلمَيِّتِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةِ للهِ تَعَالَى

“Sahaja aku solat keatas ini mayat lelaki empat takbir fardhu kifayah kerana Allah taala”.

Lafaz niat solat jenazah mayat kanak-kanak Lelaki.

أُصَلِّى عَلَى هَذَا اْلمَيِّتِ الطِفْلِ اَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةِ للهِ تَعَالَى

“Sahaja aku sembahyang atas mayat kanak-kanak lelaki empat takbir fardhu kifayah kerana Allah Taala”.

Lafaz niat solat jenazah mayat kanak-kanak perempuan.

أُصَلِّى عَلَى هَذِهِ اْلمَيْتَةِ الطِفْلَةِ اَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةِ للهِ تَعَالَى

“Sahaja aku sembahyang atas mayat kanak-kanak perempuan empat takbir fardhu kifayah kerana Allah Taala”.

Lafaz niat solat jenazah bagi imam ditambah perkataan إِمَامًا.

أُصَلِّي عَلَى هَذِهِ اْلمَيْتَةِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةِ إِمَامًا للهِ تَعَالَى

“Sahaja aku solat keatas ini mayat perempuan empat takbir fardhu kifayah menjadi imam kerana Allah taala”.

Lafaz niat solat jenazah bagi makmum ditambah perkataan مَأْمُوْمًا

أُصَلِّي عَلَى هَذِهِ اْلمَيْتَةِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةِ مَاْمُوْماً للهِ تَعَالَى

“Sahaja aku solat keatas ini mayat perempuan empat takbir fardhu kifayah mengikut imam kerana Allah taala”.

Kemudian bertakbir dengan takbir yang pertama (takbiratul ihram) disertai dengan niat di hati, kemudian baca Al-Fatihah.

Takbiratul ihram

اَ للهُ اَكْبَرُ

“Allah Maha Besar”.

Beserta dengan niat

“Sahaja aku solat keatas ini mayat perempuan/lelaki/kanak lelaki/kanak perempuan empat takbir fardhu kifayah menjadi imam/mengikut imam kerana Allah taala”.

Membaca Surah Al-Fatihah


“Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani, segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat), engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja Kami memohon pertolongan. tunjukilah Kami jalan Yang lurus. iaitu jalan orang-orang Yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang Yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang Yang sesat.” (Al-Fatihah : 1-7)

Takbir kedua baca selawat.

أَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى اَلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى اَلِ إِبْرَاهِيْمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى اَلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى اَلِ إِبْرَاهِيْمَ فِى الْعَالمَِيْنَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ.


“Ya Allah berilah rahmat kepada junjungan Nabi Muhammad saw, dan berilah kesejahteraan kepada junjungan kami Nabi Muhammad saw sebagaimana Engkau memberikan kepada Nabi Ibrahim dan keluarganya. Berkatilah Nabi Muhammad saw dan keluarganya sebagaimana Engkau telah memberikan keberkatan kepada Nabi Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya atas alam-alam ini, Engkaulah zat yang terpuji dan Maha mulia.”

Takbir ketiga berdoa untuk si mati.

أَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِعْ مَدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالْثَلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتُ الثَّوْبَ الأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ ، وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ ، وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ ، وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ اْلقَبْرِ وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ


“Ya Allah, ampunilah baginya dan kasihilah dia dan afiatkan dia dan maafkanlah kesalahannya dan muliakan kedudukannya dan lapangkan kuburnya dan bersihkan dia dengan air salju dan air dingin. Bersihkanlah dia dari kesalahannya sebagaimana dibersihkan kain putih dari kekotoran, dan gantikanlah kampunganya dengan kampung yang lebih baik dan ahli keluarganya yang baik, suami isteri yang lebih baik. Masukkanlah dia ke dalam syurga dan lindungilah dia dari seksa kubur dan fitnahnya dan dari seksa neraka.”

Takbir keempat berdoa untuk si mati lagi.

أَللَّهُمَّ لاَ تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلاَ تَفْتِنَّا بَعْدَهُ وَاغْفِرْلَنَا وَلَهُ وَلإِخْوَانِنَا الَّذِيْنَ سَبَقُوْنَا بِالإِيْمَانِ وَلاَ تَجْعَلْ فِى قُلُوْبِنَا غِلاَّ لِلَّذِيْنَ آمَنُوْا رَبَّنَا إِنَّكَ رَؤُوْفٌ رَحِيْمٌ

“Ya Allah, janganlah Engkau haramkan permohonan kami untuk kebajikannya dan janganlah Engkau membiarkan kami di timpa fitnah setelah ketiadaannya dan ampunkanlah kami dan dia juga rakan kami yang terdahulu beriman dan janganlah Engkau sematkan perasaan hasad dengki kedalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Tuhan kami, sesungguhnya Engkau bersifat pengasih dan penyanyang.”

Memberi salam ke kanan dan ke kiri.

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ

Bacaan sesudah salam

·         Surah Al-Ikhlas 3 kali.

·         Surah Al-Falaq 1 kali.

·         Surah An-Nas 1 kali.

·         Surah Al-Fatihah 1 kali.

·         Surah Al-Baqarah ayat 1-5.

·         Ayat Kursi 1 kali.

·         Doa yang sesuai ( tanya keluarga si mati, apa yang ingin mereka minta untuk mayat ini kepada Allah) .


NEXT..

Langkah terakhir dalam menguruskan jenazah adalah proses pengkebumian

Sekurang-kurangnya menanam mayat di dalam satu lubang yang boleh menyelamatkan mayat dari digali oleh binatang buas seperti harimau dan sebagainya.Yang lebih baik ialah ditanam dalam sebuah lubang yang kira-kira dalamnya sedalam (lebih kurang 6 kaki bagi lelaki atau 7 kaki bagi perempuan).

Terdapat  3 cara meletakkan mayat dalam kubur ;
1.       Dibuat liang lahad
2.       Digali parit di tengah kubur.
3.       Masukkan mayat dalam keranda




1.       Mengkebumikan mayat dengan cara membuat lahad adalah lebih afdhal dari cara yang lain jika keadaan tanah kubur itu liat , padat dan tidak mudah runtuh. Jika keadaan tanah mudah runtuh lebih baik dibuat paritkerana menyelamatkan mayat dari tertimbus. Menanam mayat di dalam keranda dibolehkansekiranya keadaan kubur itu berair atau sebab lain yang memaksa seperti dikhuatirkan dibongkar oleh binatang buas dan sebagainya.
2.       Mayathendaklah diusung dan dimasukkan pengusung ikut sebelah kaki kubur dimana kepalanya disebelah kaki kubur, kemudian diturunkan mayatitu didahulukan kepalanya. Ketika memasukkan mayat ke dalam kubur hendaklah bercermat dan berlemah lembut serta membaca zikir.
3.       Mayat diletakkan di dalam liang lahad dan wajib dihadapkan ke arah kiblat dengan dibaringkan ke atas lambungnya.Kepalanya sunat diangkat dan dibantalkan dengan tanah.
4.       Eloklah dibukakan kain kapan pada pipinya yang kanan supaya bersentuh dengan tanah. Belakangnya disendal dengan tanah kuat-kuat supaya mayat itu tidak terbalik atau terlentang.
5.       Ketika mayat hendak dihulurkan turun ke dalam kubur, janganlah duduk berjauhan tetapi hendaklah berdiri di tepi kubur . Wajib ditutup liang lahad dengan papan atau sebagainya.
6.       Bacaan talkin dibuat oleh imam.

No comments:

Post a Comment