Monday 30 April 2012

tak lambat sesaat pun


Allah subhanahu wa ta'ala berfirman :
Maksudnya : Katakanlah ; aku tidak mampu mendatangkan kepada diriku kemudaratan atau kemanfaatan melainkan apa yang dikehendaki oleh Allah. Tiap-tiap ummat mempunyai ajal, apabila tiba saat ajal mereka, sesekali tidak akan dapat mereka lambatkan walau sesaat, mahupun mempercepatkannya. (Yunus : 49)


Yang hidup pasti akan mati, kerana di dunia ini hanya persinggahan sementara untuk kita mengumpul bekalan untuk dibawa ke alam kehidupan yang kekal. Kematian itu memang menyakitkan. Memang kita belum tahu apa rasanya mati, namun menyaksikan kematian juga telah amat-amat memeritkan. Bagaimana kita melihat orang yang kita sayang kaku dan akhirnya tertimbus di liang lahad. Berat rasa hati untuk melangkahkan kaki meninggalkan pusara mereka. Timbul dibenak fikiran, adakah kau selesa dengan kamar tidur barumu?. Siapakah yang menemanimu malam ini?. Adakah kau dapat menjawab soalan-soalan malaikat munkar dan nankir?.. Ya Allah, permudahkanlah urusan mereka.
Bercerita mengenai ajal, sambil air mata tidak segan untuk menerusi laluan tubir mata, aku mula menginsafi diri saat menerima berita pemergiaan sahabat baikku. Sesungguhnya setiap apa yang dikatakan oleh Allah itu semuanya benar berlaka. Kita tidak perlu menjadi tua untuk mati. Kita tidak perlu penyakit yg kronik untuk mati. Sahabat, dalam usia yang masih muda, kau pergi tinggalkan kami. Banyak lagi impian yang ingin kita capai, tapi nampaknya, Allah lebih menyayangimu.
Air mata ku sekah, Ya! Aku tahu kau tak mahu lihat aku nangis. Aku tahu kau nak aku teruskan perjuangan kita. kau selalu kata, “kita mujahid Islam!, kalau kita lemah, musuh akan mentertawakan kita!”. kau kata macam tu tiap kali aku mengadu masalah. Sahabat, aku rindukan pukulan kau!. Kenapa dengan pukulan?. Sebab tu je yang aku dapat dari kau tiap kali kita berlatih karate-do. Tak berlatih pun, kau selalu tepuk bahu aku. Kalau tepuk manja takpa, ini tepuk yang nak terkeluarkan nasi yang aku makan. Tapi pukulan tu lah tanda belaian kita berdua. Membesar bersama sehingga mencapai impian masing-masing. Susah dan senang kau sentiasa ada.
Biar terpisah lautan, hubungan kita tetap akrab. Kau meneruskan perjuangan di Bumi Sabah. Sedangkan aku meneruskannya di negeri kita. biarpun aku tak ada saat kau melawan maut, tapi aku tahu, kau pergi dengan tenang. Sebab tidak ada kecalit pun kerutan kegusaran di wajahmu. Semoga kau aman di sana sahabat. Semoga kita berjumpa lagi di sana.
Ingat! “kat sana nanti jangan rebut bidadari aku!”.. gurauan terakhirku buatmu :)

Bercerita tentang ajal, siapakah “ajal”?..
Baginda Rasullullah S.A.W bersabda, “Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai ke lutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu”.
Cuba bayangkan kata-kata tersebut? Tidakkah ia sungguh menggetarkan jiwa?. Mengeluarkan duri yang tertusuk pada hujung jari pun amat-amat memeritkan. Inikah pula roh kita yang di tarik dari tapak kaki sehingga ke kerongkong??.. 
Kemudian Rasullullah S.A.W menyambung lagi.
 “Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail akan menebarkan sayapnya yang disebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada disekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail. Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail akan menebarkan sayap disebelah kiri. Maka orang yang nazak tu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang disekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya”.

Subhanallah, BERIMAN kan kita?. apakah yang akan kita lihat nanti saat sakaratul maut mendampingi kita?. gerun sebentar.

Kematian itu pasti. Cuma bila dan bagaimana, hanya Allah yang tahu. Teringat sebentar kisah malaikat-malaikat yang gerun menyaksikan akan kisah kematian ( Al-Maut). Ketakutan tersebut telah menyebabkan malaikat pengsan selama seribu tahun. Namun, kisah tersebut seakan tidak berbekas di hati sesetengah Hamba Allah. Mati dipermainkan seperti mati itu ibarat makan mee segera, hanya 2 minit sudah boleh terhidang (yeke?).
Ketika Allah mencipta Al-Maut dan menyerahkan kepada Izrail, maka malaikat Izrail bertanya, “Wahai Tuhanku, apakah Al-Maut itu?”. Maka Allah menyingkap rahsia Al-Maut itu dan memerintah seluruh malaikat menyaksikannya. Setelah seluruh malaikat menyaksikannya Al-Maut itu, maka tersungkurlah semuanya dalam keadaan pengsan selama seribu tahun. Setelah para malaikat sedar kembali, bertanyalah mereka, “Ya Tuhan kami, adakah makhluk yang lebih besar dari ini?” Kemudian Allah SWT berfirman: “Akulah yang menciptakannya dan Akulah yang lebih agung daripadanya. Seluruh makhluk akan merasakan Al-Maut itu”. Kemudian Allah memerintahkan Izrail mengambil Al-Maut. Walau bagaimanapun, Izrail khuatir jika tidak terdaya untuk mengambilnya sedangkan Al-Maut lebih agung daripadanya. Kemudian Allah memberikannya kekuatan, sehinggalah Al-Maut itu menetap di tangannya. Malaikat Izrail diberi kemampuan yang luar biasa oleh Allah hingga barat dan timur dapat dijangkau dengan mudah olehnya.
Al-Maut berkata: "Ya Tuhanku, izinkanlah aku untuk berseru di dalam langit sekali sahaja". Maka, setelah diizinkan, berserulah ia dengan suara yang amat keras: "Aku ini adalah Al-Maut, tugasku sebagai pemisah orang yang saling mencintai. Aku adalah Al-Maut, tugasku memisahkan antara anak dan ibunya. Aku adalah Al-Maut, tugasku memisahkan saudara lelaki dan wanita. Aku adalah Al-Maut, tugasku menghancurkan bangunan rumah dan gedung-gedung, Aku adalah Al-Maut, tugasku meramaikan kuburan. Aku adalah Al-Maut, tugasku mencari dan mendatangi kamu semuanya, walaupun kamu berada dalam lapis benteng yang amat kuat. Dan tiada satu pun makhluk yang tidak merasakan kepedihanku".


Al-Maut juga telah menjadi pemisah bagi kita sahabat. Aku temani kau dengan surah-surah Al-Quran. Kita akan jadi sahabat sampai bila-bila. Al-FATIHAH buat Fahri (28 April 2012).